Sunday 18 October 2015

INFO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

INFO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

SKIM SEWA MILIK DANASEL DIBUKA KEPADA ORANG RAMAI.

Skim sewa milik DANASEL Kerajaan Negeri Selangor sekarang dibuka kepada orang ramai.

Di bawah skim ini mereka yang hendak membeli Rumah Kos Rendah tetapi gagal mendapat pinjaman bank boleh menyewa rumah tersebut daripada kerajaan negeri.

Kerajaan negeri akan membeli rumah yang hendak dibeli dan disewakan kepada mereka.

Walau bagaimanapun apabila mereka telah layak mendapat pinjaman bank maka mereka boleh membeli rumah yang mereka sewa itu.

Kerajaan negeri akan menjual rumah tersebut dengan harga jualan yang telah ditolak sebahagian dari sewa yang telah dibayar.

Tetapi sekiranya penyewa-penyewa masih gagal mendapatkan pinjaman perumahan maka mereka boleh terus tinggal di rumah tersebut.

Mereka akan terus membayar sewa sehingga jumlah sewa yang dibayar dapat menampung harga rumah. Ketika itu rumah tersebut akan menjadi milik penyewa.

Skim ini diwujudkan untuk membantu mereka yang hendak membeli Rumah Kos Rendah tetapi gagal mendapat pinjaman perumahan.

2 projek perumahan kos rendah telah dikenalpasti untuk dilaksanakan tahun ini tetapi pelaksanaan bagi 1 projek ditangguhkan oleh kerana terdapat satu kes mahkamah.

Oleh yang demikian peruntukan untuk projek tersebut bagi membeli 180 buah Rumah Kos Rendah akan dibuka kepada orang ramai.

Bagi sesiapa yang berminat boleh menghubungi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-5544 7906.

Orang ramai juga boleh datang terus ke pejabat LPHS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tingkat 5, Podium Utara, Persiaran Sultan, Seksyen 5, Selangor, 40503 Shah Alam pada waktu pejabat.

Laman web LPHS dan syarikatnya di lphs.selangor.gov.my dan www.phssb.com juga mengandungi maklumat tentang skim ini.

YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor

17 Oktober 2015

No comments:

Post a Comment