Tuesday 14 June 2016

SEMAK STATUS TANAH

Selangorkini - Mobile
m.selangorku.com
OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JUN: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat menasihatkan pembeli rumah tanah lot sekitar Kuala Langat supaya menyemak status, syarat nyata tanah dan sekatan ke atas tanah bagi mengelak penipuan.

Dalam hebahan menerusi Facebook, pihaknya menyarankan pembeli supaya bertanya sama ada penjual tanah sudah membuat permohonan menukar syarat pertanian kepada syarat bangunan kediaman atau tidak.

Pembeli juga perlu menentukan sama ada penjual ada membuat permohonan pecah sempadan selain memastikan mendapat kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti diiklankan pemaju tanah.

Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat juga menggesa penduduk menyemak di Unit Pembangunan Tanah Kuala Langat sekiranya terdapat keraguan.

Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berusaha membantu pembeli tanah lot berada di landasan betul bagi mengelakkan berlaku masalah.

Terdahulu, Pengurus Besar PKNS, Azlan Alifiah berkata, beliau terpanggil dengan isu pembelian tanah lot yang akhirnya memberi kesan negatif kepada pembeli.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan pelbagai kemudahan tidak dapat diselenggarakan dengan baik.

“Pembeli akhirnya terpaksa bekerjasama dengan pembeli lain untuk menyelesaikan pelbagai perkara, termasuk sistem saliran, laluan jalan, kemudahan prasarana dan sistem elektrik yang bermasalah.

“Oleh itu, PKNS mengambil keputusan membina rumah atas tanah berstatus rizab Melayu bagi membantu orang Melayu mendapat kemudahan yang terbaik,” katanya.

PKNS komited melaksanakan pembangunan di atas tanah Rizab Melayu selaras hasrat Kerajaan Negeri yang melihat potensi besar rizab itu perlu dibangunkan.

Katanya, PKNS kini dalam proses pembelian tanah rizab Melayu di Dengkil berkeluasan 150 ekar selain melihat potensi pembangunan di kawasan pinggir bandar seperti Banting, Meru, Kapar, Kajang, Hulu Langat dan Kuala Selangor.

EZY

👆 Semakan di unit pembangunan pejabat Daerah/Tanah,  mengikut daerah lot-lot tanah dijual.

No comments:

Post a Comment